suria

Zayn Rayyan, adik suka jalan-jalan di mall... Ibu kongsi foto momen bahagia sehari sebelum tragedi

Ismanira berkongsi momen terakhir bersama Zayn Rayyan.

PEMERGIAN kanak-kanak autisme, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin yang dipercayai mati dibunuh terus meruntun jiwa rakyat Malaysia.

Paling terkesan tentunya ibu arwah yang cuba mengubati kerinduan dengan meluahkan isi hati tentang kehilangan anaknya yang berusia enam tahun itu.

Menerusi satu hantaran di laman sosial, Ismanira Abdul Manaf, 28, berkongsi tentang momen indah terakhir bersama Zayn Rayyan.

Ibu kepada dua anak itu sempat membawa arwah bersiar-siar di sebuah pusat beli-belah terkenal di Petaling Jaya, Selangor sehari sebelum kehilangan anaknya.

“Waktu ni Isnin minggu lepas, 4 Disember. Ini terakhir mommy dan daddy dapat bawa abang jalan-jalan. Abang dan adik suka sangat jalan-jalan,” tulis Ismanira pada petang Rabu, sambil berkongsi tujuh foto dia dan suami membawa anak syurga mereka, bersama seorang lagi anak di sebuah pusat beli-belah.

Snapinsta.app_410424911_18292191418198855_6943959320921265694_n_1080

Ismanira bersama arwah Zayn Rayyan dan seorang lagi anaknya di sebuah pusat beli-belah.

Menurut Ismanira lagi, dia dan suami akan sedaya-upaya menggembirakan anak-anak dengan meluangkan masa bersama walaupun sibuk.

“Dapat pusing mall makan-makan tu memang gembira sangat sangat la dua beradik ni. Penat ke sibuk macam mana pun mommy daddy akan cuba juga bawa abang dan adik jalan-jalan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Abang, mommy cuba kuat” – Ibu Zayn Rayyan kongsi rasa hati, lagu ‘Salam Terakhir’ undang sebak

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan salahkan ibu Zayn Rayyan! Bapa tunggal 3 anak istimewa minta faham sifat autisme - “Tuduhan cuai seolah bunuh maknya pula”

“Gembira sangat abang waktu ni, mommy, daddy dan adik pun gembira waktu ni. Tak sangka ini momen gembira terakhir kita. Mommy abadikan kat sini ya,” katanya lagi.

Pada tengah hari 5 Disember lalu, Ismanira berkongsi di Facebook mengenai kehilangan anaknya, sebelum meminta penduduk setempat membantu mencari kanak- kanak malang berkenaan, selepas gagal menemui anak sulung daripada dua beradik itu.

Mayat Zayn Rayyan ditemukan di kawasan sungai, kira-kira 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman di Damansara Damai, Selangor, kira-kira pukul 10 malam pada 6 Disember lalu.

Kematian itu pada awalnya diklasifikasi sebagai mati mengejut, tetapi kemudian disiasat sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak berkenaan.

Setakat ini, beberapa objek dipercayai boleh memberi petunjuk bagi merungkai pembunuhan kanak-kanak autisme itu diperoleh polis menerusi pemeriksaan dari rumah ke rumah di Blok R, Apartmen Idaman, pada malam Selasa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain