PENGUNJUNG IOI Mall Puchong berdepan detik cemas apabila pusat beli-belah itu ditenggelami dinaiki air, Sabtu. Puluhan kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir turut terjejas susulan air naik pada paras hampir 0.5 meter. Berikutan kejadian, unit Pengurusan Bencana Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan amaran tahap tiga atau bahaya di kawasan IOI Mall Puchong sekitar jam 6.45 petang. MBSJ meminta agensi terlibat untuk membuat persediaan bantuan menerusi notis amaran yang dikeluarkan. "Semua agensi terlibat Pengurusan Bencana diminta bersedia untuk pelaksanaan Operasi Bantuan Bencana di bawah bidang kuasa masing-masing," menurut notis tersebut. Selain itu, pihaknya turut meminta semua pengguna jalan raya mengelak menggunakan laluan tersebut. "Pengguna diminta merancang dan mencari laluan alternatif bagi mengelak kawasan tersebut. "Semua penduduk berdekatan diminta mengambil langkah berjaga-jaga dan bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa," katanya. Sementara itu, menerusi perkongsian video di media sosial, dapat dilihat jalan utama turut dinaiki air. Dalam satu hantaran pengguna di X, dia mendakwa pembukaan jalan baharu di depan kawasan itu menyebabkan saluran longkang bermasalah sekali gus menjadi punca banjir kilat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube