suria

Keluarga arwah Zaharif lantik peguam, kes disiasat kerana membunuh

Bapa Allahyarham Muhammad Zaharif mahu kematian anak bongsunya mendapat pembelaan sewajarnya.

KELUARGA remaja berusia 17 tahun, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, yang didakwa maut akibat dilanggar seorang pegawai kanan polis pada Jumaat, melantik peguam bagi menuntut pembelaan atas kematian mangsa.

Menurut bapa Allahyarham, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, mereka sekeluarga bersetuju melantik peguam dari Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) bagi memastikan kematian anak bongsu daripada empat beradik itu mendapat pembelaan sewajarnya.

Muhd Zamrie juga menegaskan, mereka mahu kes berkenaan disiasat dan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) iaitu membunuh berbanding mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

ARTIKEL BERKAITAN: Calon SPM maut dilanggar, pegawai kanan PDRM ditahan

"Tujuan melantik peguam adalah inginkan keadilan dan ketelusan, sebab saya tahu kami sekarang berurusan dengan pihak polis. Jadi saya hendakkan keadilan supaya nasib anak saya terbela, telus, dan tiada selindung-selindung, itu saja," katanya pada Ahad.

Sementara itu, peguam HWAM, Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, pihaknya akan melihat dua perkara utama iaitu ketelusan proses siasatan polis di pihak keluarga arwah, serta tindakan perundangan sivil yang boleh dikenakan terhadap pelaku kes itu bahkan terhadap kerajaan Malaysia.

"Serta apa yang diminta oleh pihak kami ialah pampasan yang berkait dengan tindakan sivil susulan kematian arwah, supaya kami dapat memastikan pampasan sewajarnya diberikan kepada keluarga arwah," katanya yang turut bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga mangsa.

Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas didakwa dilanggar pegawai kanan polis berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Meru, Jumaat lalu.

Sebelum kejadian, konflik dikatakan tercetus antara pegawai kanan polis berkenaan dan mangsa susulan tindakan remaja tersebut membuat bunyi bising menggunakan ekzos motosikalnya.

Sementara itu dalam perkembangan terbaru, pegawai kanan polis berkenaan akan dituduh di bawah Seksyen 302 di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin (esok).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain