KECOH di media sosial mengenai video murid-murid membuat ‘pickup line’ dalam program motivasi sekolah. Penularan video tersebut menimbulkan pelbagai reaksi termasuk kemarahan dalam kalangan ibu bapa murid-murid terhadap perunding pendidikan dan penceramah sekolah berkenaan. Susulan itu, pihak penganjur iaitu Akademi Ikon Muda Malaysia (Aikom) tampil memberi penjelasan dan meminta semua pihak supaya bersabar atas penularan video. “Kami akan menghantar surat permohonan maaf kepada dua sekolah yang terlibat di dalam video tersebut dan kepada ibu kepada pelajar yang terlibat. “Tindakan susulan akan diambil. Siasatan sedang dijalankan dan laporan polis sedang dibuat,” menurutnya menerusi hantaran di Facebook akademi itu, pada petang Ahad. Malah menurut Aikom, salah seorang daripada pasukan mereka bukan pakar motivasi dan baru berkhidmat selama beberapa bulan. “Untuk makluman semua, Amir bukan pakar motivasi Aikom. Dia hanya pasukan media. Tindakan drastik akan diambil. Mohon maaf semua,” menurut kenyataan itu. Aksi pelajar membuat 'pickup line' di dalam aktiviti yang disediakan. Mengulas lanjut mengenai pengisian ‘pickup line’, Aikom menerusi kenyataan berasingan berkata, ia sebenarnya merupakan aktiviti kerja berpasukan untuk ‘Slot Berkorban Apa Sahaja’ di mana pelajar perlu mencipta sesuatu di dalam beberapa tahap yang diberikan. ARTIKEL BERKAITAN: Bapa kecewa murid buat ‘pickup line’ jadi ‘content’ penceramah, haramkan guna wajah anak untuk ‘marketing’ ARTIKEL BERKAITAN: Murid lelaki nampak miang, melompat-lompat bagi ‘pickup line’ untuk ustazah! Ramai risau pelajar hilang adab, bergurau tak bertempat “Dalam program kami, kami sering tegaskan bahawa couple itu haram dan tak baik normalisasikan di zaman persekolahan. Kami tidak ajar atau galakkan pelajar untuk bercinta. “Setiap slot kami ada nilai dan pengajaran yang kami sampaikan sama seperti aktiviti pickup line, ada sesuatu yang kami sampaikan untuk pelajar tahu kenapa kami buat aktiviti tersebut,” menurut Aikom dalam satu kenyataan. Merupakan institusi latihan yang menawarkan khidmat latihan dan perundingan bermutu dan berwibawa yang ditubuhkan pada 2008, Aikom turut menafikan pelajar yang terlibat di dalam video yang tular adalah tidak beradab sebagaimana yang didakwa menerusi komen-komen di media sosial. “Pelajar tersebut adalah sangat bagus dan baik. Dalam setiap aktiviti dia lakukan yang terbaik dan mungkin bila begitu teruja dia menunjukkan aksi spontannya seperti dalam video. “Ustaz dan ustazah yang berada sepanjang program juga sangat positif dan memberi maklum balas yang sangat baik. Hanya mereka yang berada dalam program kami dari awal hingga hujung sahaja yang benar-benar faham apa yang kami sampaikan,” katanya yang merekodkan penyertaan lebih 200,000 pelajar di seluruh Malaysia. Namun kata Aikom, terdapat beberapa individu memuat naik video mereka tanpa kebenaran dan lebih memburukkan keadaan apabila ia sudah dipotong dan hanya sebahagian yang disiarkan. “Kami tak tahu apa niatnya mungkin pada dia content pickup line tidak sesuai ditayangkan atau dia nak publisiti. Video-video yang dimuat naik kami hanyalah untuk hiburan kepada pelajar sekolah/aktiviti program dan ada input-input baik yang kami sampaikan kepada pelajar,” ujarnya. Mengakui terlalu ramai konsultan yang hebat, Aikom memberitahu bahawa setiap daripada mereka pasti mempunyai gaya dan cara tersendiri. “Kami konsultan cuba sesuaikan dengan peredaran semasa yang dekat dengan jiwa anak muda untuk mereka lebih faham dan tidak mengantuk apa yang kami sampaikan. “Lain orang lain cara pemahaman, sama seperti mereka yang mengecam melihat content kami pasti anda fikir yang negatif tentang kami... Apapun, kami ingin meminta maaf kepada semua pihak yang terkesan atas apa yang berlaku,” katanya. Sebahagian daripada surat terbuka seorang bapa. Terdahulu, tular sebuah video memaparkan satu aktiviti dalam sesi ceramah di sebuah sekolah, di mana seorang murid lelaki memberi 'pickup line' kepada ustazahnya. “Ustazah, apa beza ustazah dengan IC (kad pengenalan)? IC saya letak di dompet... ustazah terletak di hati saya," ujarnya sambil melompat-lompat sambil menerima sorakan pelajar-pelajar lain. Turut tular adalah surat terbuka daripada seorang bapa yang mendakwa anaknya ‘digunakan’ dalam video yang dikongsi di media sosial oleh pihak penganjur. “Saya salah seorang ibu bapa yang anaknya sudah digunakan dalam video content dan marketing pihak berkenaan berasa sangat kecewa dengan tindakan yang kalian telah lakukan. “Anak-anak kami bukan bakat percuma yang kalian boleh perdagangkan secara percuma untuk digunakan sebagai alat atau bahan marketing. Sudah pasti pihak sekolah telah membayar kalian untuk program-program tersebut. “Adakah kalian telah meminta izin pihak sekolah, guru-guru dan ibu bapa untuk menggunakan wajah-wajah mereka sebagai bahan marketing kalian? Saya sebagai ibu bapa tidak mengizinkan bahkan mengharamkan kalian menggunakan wajah anak saya!” katanya dengan nada tegas. Dia bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada anaknya merupakan pelajar di dalam video yang tular, berikutan terdapat beberapa video pelajar lain turut melakukan aktiviti ‘pickup line’ di sekolah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube