suria

Kecoh pasangan bergelut dalam mall, wanita dicekik jerit minta bantuan orang ramai

Tangkap layar menunjukkan dua individu dipercayai suami isteri bergelut dalam pusat beli belah.

TINDAKAN seorang lelaki yang dilihat mencekik seorang wanita dalam sebuah pusat beli belah tempatan tular di media sosial.

Dalam video dikongsikan di X, kelihatan dua individu, dipercayai pasangan suami isteri sedang bergelut di hadapan khalayak.

Sebagaimana dapat dilihat dalam rakaman, lelaki tersebut yang berbaju hitam sedang menyerang wanita yang terbaring di lantai pusat beli belah sambil menjerit meminta tolong.

"Depan orang ramai dia boleh cekik isteri dia. Dalam rumah sendiri tak tahulah macam mana," demikian keterangan pada video dikongsikan.

Jika diteliti rakaman tersebut, terdapat sebuah kereta sorong budak berdekatan mereka namun tiada sebarang maklumat lanjut mengenainya.

Wanita ini bertindak mencampak kasut dipakai lelaki yang mencekiknya.

Selepas dicekik, mangsa dilihat melemparkan objek dipercayai kasut lelaki itu sebelum beredar meninggalkannya.

Sambil beredar dia sempat memarahi lelaki yang mengasarinya itu, dipercayai menggunakan bahasa Mandarin.

Video yang tular tersebut mendapat pelbagai reaksi netizen dengan pelbagai spekulasi dibuat.

Malah, beberapa individu mempertikaikan orang awam yang hanya berdiam diri dan tidak mengambil sebarang tindakan sewaktu wanita ini meminta tolong.

Dalam pada itu, ada warga maya beranggapan wanita ini mempunyai masalah yang berkemungkinan menjadi penyebab lelaki ini bertindak agresif.

"Saya harap wanita itu dapat pertolongan. Sudahlah ada anak kecil tu. Seriuslah.

"Entahlah kita tak boleh nak nilai dengan hanya tengok video pendek macam ni," komen netizen.

Berdasarkan komen netizen, kejadian dikatakan berlaku di Aeon Tebrau, Johor Bahru, Johor.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain