suria

Remaja tak hirau pekikan orang ramai, terus berjalan masuk sungai seperti dipukau

Remaja berkenaan berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

ORANG ramai yang sedang bersantai sekitar jeti di Tanjung Emas, Muar, Johor dikejutkan dengan tindakan seorang remaja lelaki yang berjalan masuk ke dalam sungai seorang diri, seperti dipukau.

Menerusi video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok @Shah_Evanddy91, remaja berkenaan dilihat terus berjalan sehingga air sungai mencapai paras dadanya tanpa menghiraukan jeritan orang ramai.

"Kejadian dekat Tanjung Emas, Muar, pukul 7.30 malam. Ingatkan nak bunuh diri tapi seperti dipukau.

"Ada saksi yang nampak awal, lelaki ni seperti dipukau. Terus masuk ke sungai even orang dah jerit panggil. Dia tak toleh langsung.

"Masa dah dekat dalam ni dia nangis," tulis keterangan pada video berkenaan.

Tambah pemilik video, orang ramai segera menghubungi talian kecemasan 999 memandangkan terlalu sukar untuk masuk ke dalam sungai bagi menyelamatkan remaja berkenaan.

Menerusi perkongsian berasingan, pemilik video memaklumkan bahawa remaja berkenaan berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Video tersebut sehingga kini meraih 2.3 juta jumlah tontonan di TikTok.

Sementara itu Ketua Balai Bomba Muar, Timbalan Penguasa Bomba II Shahrizal Mokhtar berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian yang berlaku pada Ahad lalu itu kira-kira pukul 7.32 petang.

ARTIKEL BERKAITAN:Kembali 'normal' apabila di rumah, kakak nafi adik jadi mangsa pukau - "Pakaian masih sama macam dia hilang"

Setibanya di tempat kejadian, pihak bomba mendapati mangsa berada di daratan dan sudah diselamatkan oleh ahli keluarganya.

"Menurut orang ramai di tempat kejadian, remaja terbabit masuk ke dalam sungai dengan berjalan sendiri dan kemudian berhenti apabila merasa air sungai pada aras yang dalam.

"Mangsa bernasib baik kerana sewaktu kejadian air sedang surut," katanya, memetik Kosmo.

Tambah Shahrizal, mangsa Muhammad Said Nordin, 19, dipercayai datang ke Muar bersama ahli keluarga dari Simpang Renggam menghadiri kenduri kahwin.

Ujarnya, pihak bomba turut bertanya kepada remaja berkenaan keadaan dirinya namun mangsa hanya mendiamkan diri tetapi dalam keadaan sedar serta waras.

"Mangsa berkemungkinan mengalami masalah kemurungan sehingga bertindak demikian.

"Pihak bomba menasihatkan keluarga mangsa untuk membawa mangsa mendapatkan rawatan lanjut ke hospital bagi mengenal pasti tahap kemurungan serta kesihatan remaja berkenaan," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain