suria

Wanita maut ditikam bertubi-tubi selepas makan tengah hari

Mangsa yang berusia 26 tahun maut akibat ditikam beberapa kali pada depan dan belakang badan. -Gambar ihsan polis

POLIS memberkas seorang lelaki selepas dia bertindak menikam seorang wanita bertubi-tubi sehingga maut.

Kejadian berlaku pada Isnin (semalam) berdekatan sebuah restoran di Jalan Bayu Tinggi, Klang.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, siasatan mendapati mangsa berumur 26 tahun sebelum itu bertemu dengan suspek di restoran berkenaan kira-kira pukul 1.20 petang.

"Selepas selesai makan, kedua-dua mereka kemudiannya pergi ke kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir kereta berdekatan.

"Siasatan mendapati, ketika tiba di kereta, suspek kemudiannya bertindak menikam mangsa beberapa kali menggunakan sebilah pisau," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi berdarah! Lelaki ditahan didakwa tikam mak ayah hingga mati

Hoong Fong berkata, suspek kemudiannya memasukkan mangsa ke dalam kereta berkenaan sebelum bergerak ke rumahnya di Jalan Sungai Nibong 5, Kapar.

"Suspek cuba beberapa kali mengejutkan mangsa bagaimanapun tidak berjaya sebelum dia mencederakan diri sendiri dengan menikam bahagian badan.

"Pada 4.20 petang, suspek ditangkap sepasukan polis dari Cawangan D9, IPD Klang Selatan dan pemeriksaan lanjut mendapati wanita berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk penumpang hadapan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, polis turut menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, bedah siasat terhadap mangsa mendapati banyak kesan tikaman pada bahagian depan dan belakang badan.

"Punca kematian mangsa disebabkan kesan tikaman di dada yang tembus ke jantung dan siasatan lanjut masih dijalankan polis untuk mengetahui punca sebenar kejadian ini.

"Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan kini dalam tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain