AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB) iaitu pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.25 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023. Jumlah pengagihan tersebut terdiri daripada agihan pendapatan sebanyak 4.25sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit. Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan RM9.3 bilion tersebut memanfaatkan 10.8 juta pemegang unit ASB. Bilangan akaun ASB meningkat lebih 200,000 kepada 10.8 juta akaun, menunjukkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai instrumen simpanan dan pelaburan penting bagi golongan Bumiputera dalam perancangan kewangan mereka. Urus niaga ASB di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua platform digital dan perbankan internet, akan ditangguhkan dari 22 hingga 25 Disember 2023. Satu ciri khas diperkenalkan pada tahun ini bagi menggalakkan rakyat Malaysia terus menabung, yang membolehkan transaksi pelaburan tambahan tunai dalam ASB bermula 26 Disember 2023. Urus niaga pelaburan ini akan diambil kira untuk baki minimum bulanan pada Januari 2024, membolehkan pemegang unit menikmati pengiraan penuh pengagihan pendapatan mulai Januari 2024. Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di semua platform digital dan perbankan internet bermula 1 Januari 2024, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB bermula 2 Januari 2024. Bagi tahun kewangan 2022, agihan pendapatan ASB adalah sebanyak 3.35 sen bersama bonus 1.25 sen untuk memberikan jumlah 4.60 sen seunit, selain terdapat bonus tambahan sebanyak 0.5 sen seunit untuk 30,000 unit pertama bagi setiap pemegang unit. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube