SEORANG penjual buah berdepan hukuman gantung sampai mati atas dakwaan membunuh kekasihnya dalam kejadian pada 18 Disember lalu. Menerusi prosiding di Mahkamah Majistret, Shah Alam, Selangor pada Rabu, tertuduh Khoo Choon Heng, 44, didakwa menikam kekasihnya, Koh Chea Ling, 26 hingga mati di Jalan Bayu Tinggi 5 di Klang, sekitar pukul 1 tengah hari. Pertuduhan dibacakan kepada suspek di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd Rashid dan tertuduh mengangguk tanda faham. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman gantung atau penjara tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati boleh disebat tidak kurang 12 sebatan rotan. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Bahiyah Amir Haidi manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Sharonpal Singh. Sebutan semula kes ditetapkan pada 1 Mac 2024. Sebelum ini media melaporkan seorang wanita ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta dengan beberapa kesan tikaman. Motif kejadian dipercayai disebabkan cemburu dengan suspek kemudian mencederakan diri dengan menikam badannya menggunakan pisau yang sama. -The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube