suria

“Kalau sedar saya tidak buat” - Penganggur cabul wanita di LRT Maluri mengaku hidap penyakit

Tindakan lelaki terbabit melakukan kekacauan di LRT Maluri menjadi tular pada Julai lalu.

MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur pada Rabu menolak pengakuan bersalah seorang lelaki yang didakwa mencabul penumpang wanita di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Maluri dalam kejadian Julai lalu.

Menerusi perbicaraan pada Rabu, mahkamah turut mengarahkan tertuduh, Shahron Nizam Alias, 48, dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi menjalani pemeriksaan psikiatri.

Keputusan dibuat Majistret Illi Marisqa Khalizan selepas Shahron yang merupakan seorang penganggur mengaku bersalah dan menyifatkan kejadian berlaku kerana lelaki itu tidak waras.

Tambah Illi Marisqa, mahkamah menolak pengakuan bersalah itu atas alasan terdapat isu berhubung ketidakwarasan yang dibangkitkan pihak pendakwaan berikutan tertuduh sedang menjalani rawatan mental di sebuah hospital ketika prosiding berjalan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki peluk, gomol wanita di stesen LRT Maluri! Siap berani turun ke landasan, ketuk-ketuk tren sedang bergerak dengan kasut

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak nak tengok, tolong padam!” - Mangsa serangan seksual LRT Maluri alami trauma, rayu tidak diganggu

"Pengakuan (bersalah) tertuduh tidak boleh diterima dan tidak bersyarat," katanya.

Sebelum itu, Shahron mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Illi Marisqa.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 28 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya di stesen LRT Maluri laluan Ampang, Selangor pada 7.58 pagi, 28 Julai lalu.

Susulan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat jika disabitkan kesalahan.

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Zuhairi Osman menyatakan tertuduh mempunyai tahap kesihatan mental kurang baik.

"Tertuduh mempunyai penyakit Skizofrenia dan dipercayai tidak sedar apabila melakukan kesalahan itu dan masih menerima rawatan doktor," katanya.

Sewaktu dibicarakan, tertuduh yang tidak diwakili peguam berkata, ketika kejadian dia tidak sedar perbuatan dilakukan.

Tangkap layar video tular di media sosial.

"Saya tidak sedar, kalau sedar saya tidak buat perkara ini, saya ada penyakit," katanya dalam rayuan berkenaan.

Mendengar hujahan kedua-dua pihak, Illi Marisqa mengarahkan lelaki itu dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dan 29 Januari 2024 untuk laporan psikiatri tertuduh.

Terdahulu, polis mengesan seorang lelaki yang melakukan gangguan seksual terhadap wanita di sebuah stesen LRT.

Dalam video yang tular sebelum ini, rakaman memaparkan tindakan lelaki terbabit melakukan gangguan seksual terhadap wanita berkenaan.

Video berdurasi seminit 11 saat itu turut memaparkan wanita berkenaan diselamatkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Malah, lelaki berkenaan juga mengetuk cermin tren menggunakan kasut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain