suria

Mayat kanak-kanak ditemukan tertiarap di dasar sungai, aktiviti mandi-manda bertukar tragedi

Mangsa dipercayai lemas pada kedalaman lima kaki di Sungai Tok Hakim, Kuala Terengganu. -Foto ihsan bomba

SEORANG kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika mandi bersama adik dan rakannya di Sungai Tok Hakim, Kuala Terengganu pada petang Rabu ditemukan lemas.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, mayat Muhamad Harraz Ilman Mohd Syahril Redhuan, 11, ditemukan pasukannya di dasar sungai dalam keadaan tertiarap.

"Mangsa dijumpai pada jarak 30 meter dari tempat kali terakhir dilihat. Mangsa dipercayai lemas pada kedalaman lima kaki.

"Pihak polis mengesahkan mangsa meninggal dunia dan mayat mangsa diserahkan kepada Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan selanjutnya," kata Rozizah.

Dalam kejadian pada pukul 4 petang Rabu itu, turut hampir lemas adalah adik mangsa iaitu, Muhammad Firas Wafiy, 9, yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Besar.

Muhammad Firas Wafiy cuba menyelamatkan abangnya namun gagal apabila mangsa dihanyutkan arus, dia kemudiannya berjaya diselamatkan orang awam.

Seorang lagi kanak-kanak yang mandi di dalam sungai sama adalah Wais Alqarni Mahadi, 12, murid Tahun Enam SK Serada, rakan kepada mangsa.

Wais Alqarni Mahadi dilaporkan selamat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain