suria

Nak tutup malu hamil anak teman lelaki, pelajar kolej reka cerita... Dakwa rumah diceroboh, dirogol lelaki bertopeng

Membuat laporan polis palsu adalah satu kesalahan. -Gambar hiasan

NASI sudah menjadi bubur.

Seorang pelajar kolej berusia 20 tahun bagaikan hilang arah apabila mendapati dia sedang hamil hasil hubungan terlarang dengan teman lelakinya.

Tidak mahu aibnya diketahui keluarganya, gadis itu kemudiannya bertindak membuat laporan polis palsu pada Selasa, mendakwa menjadi mangsa rogol.

Perkara itu didedahkan Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook selepas gadis tersebut membuat satu laporan di Balai Polis Batu Kikir pada pukul 7.26 malam, Selasa.

Dalam laporannya, gadis itu mendakwa kediamannya di Kampung Serting Ilir, Bahau, dimasuki lelaki tidak dikenali yang menutup wajah dengan topeng.

Dia juga mendakwa dirogol pada pukul 6.15 petang, Selasa.

Bagaimanapun, pemeriksaan telefon bimbit pelajar itu mendapati wujud perbualan yang mencurigakan dengan kekasihnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengawal keselamatan rogol dua anak tiri, ambil kesempatan ketika isteri keluar urus gerai burger

Akhirnya gadis itu mengaku laporan yang dibuat adalah satu cerita yang dibuat-buat olehnya.

"Pelajar itu membuat laporan palsu disebabkan sudah mengandung hasil daripada hubungan seks dengan teman lelakinya dan takut diketahui keluarga.

"Pihak forensik yang menjalankan pemeriksaan tidak menjumpai spesimen atau cecair air mani di tempat kejadian.

"Selepas dibawa ke Hospital Jempol, hasil pemeriksaan mendapati dia tidak mengalami kecederaan sebaliknya sudah mengandung lima minggu," ujarnya pada Rabu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Polis juga akan memohon perintah untuk menyiasat (OTI) daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya sebelum meneruskan siasatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain