POLIS memburu seorang penunggang motosikal yang berkelakuan tidak senonoh terhadap seorang wanita ketika cuba bertanyakan tentang jalan. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung perkara itu pada pukul 4.37 petang Isnin. "Kita mengesan satu klip video berdurasi 46 saat yang dimuat naik di laman sosial. "Klip video itu menunjukkan seorang wanita diganggu secara seksual oleh seorang lelaki menunggang motosikal sambil melakukan perbuatan tidak senonoh," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa. ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar intern trauma nak keluar rumah, lelaki tanya jalan tiba-tiba buka seluar - “Saya menggeletar, sumpah seram” Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku di Kota Damansara di Petaling Jaya, Selangor. "Semakan mendapati mangsa masih belum membuat laporan berhubung insiden itu. "Kita menasihatkan mangsa untuk tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan, kes disiasat dibawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan," katanya. Mohamad Fakhrudin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut boleh menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Magenderan di talian 017-3356810. Terdahulu, mStar melaporkan mengenai seorang wanita mendakwa dirinya menjadi mangsa gangguan seksual di sekitar kediamannya di Damansara Damai, Petaling Jaya. Dalam video itu, kelihatan lelaki itu mengajak mangsa berbual dengan cuba bertanyakan tentang jalan. "Lepas tu lelaki ni berhenti motosikal yang dinaiki depan saya nak bertanya jadi saya jawab je. "Tapi jawab acuh tak acuh je sebab dah menggeletar (ketakutan). Kemudian saya terus blah," tulisnya pada video. Gangguan terhadap dirinya berterusan apabila lelaki terbabit masih mengekorinya. Detik paling menakutkan Ana apabila lelaki itu membuka seluar untuk melakukan perkara tidak bermoral di hadapannya. Menurut wanita itu, ini merupakan kali pertama dia berdepan dengan situasi seperti ini sejak menetap di perumahan Damansara Damai tiga bulan lalu. Malah, pengalaman ini cukup memberikan kesan buruk sehingga dia takut untuk keluar dari rumah. "Saya memang selalu joging dekat kawasan sini. Selama ni tak pernah kena gangguan daripada sesiapa pun. "Saya tak buat laporan polis, duduk dalam rumah je. Tak keluar pergi mana-mana pun demi jaga keselamatan diri," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube