suria

Bakal kahwin Februari, lelaki mengaku bersalah rogol gadis bawah umur hingga lahir bayi… Datang mahkamah dengan tunang

Mohamad Haidil dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar, Johor. Kredit foto: Kosmo

SEORANG lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Muar, Johor pada Isnin atas pertuduhan merogol kenalan bawah umur hingga melahirkan anak, dalam kejadian dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Haidil Haiqal Abdullah, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mohamad Haidil Haiqal bakal mendirikan rumah tangga pada Februari dan dilaporkan tiba di mahkamah sambil ditemani tunangnya.

Terdahulu, memetik Kosmo, tertuduh yang bekerja di kebun kelapa sawit didakwa merogol mangsa berusia 13 tahun di sebuah rumah di Kluang, Johor, dalam kejadian antara Mei hingga November 2022.

Mohamad Haidil Haiqal didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan

Dalam pada itu, pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa mangsa sudah melahirkan bayi pada Mei tahun lalu iaitu seminggu selepas Mohamad Haidil Haiqal ditahan polis pada 30 April.

Hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas bayi mangsa mendapati ia sepadan dengan tertuduh.

Mahkamah memutuskan untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan mangsa di bawah umur dan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Mahkamah menetapkan 27 Februari ini untuk fakta kes, hukuman serta laporan sosial Jabatan Kebajikan Masyarakat memandangkan tertuduh merupakan pesalah muda.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube