suria

Tragedi hari pertama di rumah pengasuh... Bayi 6 bulan digigit hingga luka, seorang lagi anak ada kesan lempang di muka

Seorang wanita mendakwa dua anak lelakinya mengalami kecederaan di rumah pengasuh.

DIKEMASKINI

HARI pertama seorang wanita menghantar dua anaknya ke rumah pengasuh bertukar tragedi apabila bayinya yang berusia enam bulan didakwa digigit anak pengasuh.

Bukan satu, tapi dakwa wanita itu terdapat lebih lapan gigitan pada bayinya sehingga menyebabkan kecederaan.

Kejadian itu dikongsikan ibu mangsa menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad tanpa mendedahkan lokasi rumah pengasuh.

“Hari pertama di rumah pengasuh berakhir dengan tragedi yang perit bagi aku dan anak-anak. Baby Luth yang baru enam bulan digigit oleh anak pengasuh.

“Lebih lapan gigitan sehingga terkoyak kulit berdarah di baju,” tulisnya.

Wanita itu mendakwa terdapat kesan lapan gigitan pada badan bayi lelakinya.

Menurut wanita berkenaan, seorang lagi anak lelakinya pula didakwa dilempang sehingga trauma.

“Abang Nuh pula kesan lempang berbirat jari orang dewasa di muka. Sampai sekarang abang Nuh masih trauma hingga demam-demam.

“Dia sendiri saksi nampak adik dia kena gigit.. Doakan Luth dan Nuh cepat sembuh luka, demam dan trauma,” ujarnya tanpa menyatakan umur seorang lagi anaknya.

Di ruangan komen, wanita itu memaklumkan pengasuh memohon maaf dan memberikan wang untuk merawat anak-anaknya.

“Dia minta maaf dan bagi RM50 untuk rawatan serta ubat sapu,” katanya lagi.

Menerusi perkembangan terbaharu, wanita itu memaklumkan laporan polis sudah dibuat susulan kejadian itu.

Selain itu katanya, kedua-dua anaknya juga sudah menerima rawatan.

“Doakan semuanya dipermudah dan anak-anak cepat sembuh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, semakan mendapati laporan polis berhubung kejadian telah dibuat ibu bayi itu pada pukul 5.30 petang, Rabu lalu.

"Laporan dibuat wanita berkenaan mengenai kes anak yang berumur enam bulan mempunyai kesan gigitan di badan disyaki digigit oleh anak pengasuh yang berusia tiga tahun.

"Hasil siasatan, pengasuh merupakan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 20-an dikenal pasti dan akan dirakam percakapan pada Isnin bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Beliau berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum penjara boleh sampai 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain