MAYAT dalam keadaan sudah mereput ditemukan dalam sebuah kereta yang diletakkan di premis menjual kereta terpakai di Pasir Puteh, Ipoh, Perak pada Jumaat. Lelaki yang belum dapat dikenal pasti identitinya itu dijumpai dalam keadaan terbaring di tempat duduk belakang sebuah Proton Wira warna hitam bernombor pendaftaran WJG 7903. Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, panggilan telefon berhubung penemuan mayat itu diterima melalui kaunter Balai Polis Pasir Puteh kira-kira pukul 11.51 pagi. Katanya, pemeriksaan selepas pintu kereta yang terkunci dari dalam itu dapat dibuka mendapati tiada sebarang unsur jenayah. “Mayat dijumpai dalam keadaan lengkap berpakaian, membusuk dan berulat. “Tiada butiran lanjut mengenai si mati diperoleh seperti nama, pengenalan, bangsa, umur, dan pekerjaannya melainkan mayat itu dikenal pasti sebagai lelaki,” katanya. Jelasnya, pemeriksaan badan terhadap si mati juga tidak dapat dilakukan memandangkan keadaannya yang sudah bertukar hitam dan berulat. Katanya, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Perak untuk pengesahan identiti. Selain itu, pihaknya juga mendapatkan cap jari dan proses bedah siasat akan turut dibuat sekitar 9.30 pagi 15 Januari. Bagaimanapun, Yahaya berkata kes setakat ini diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR). Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube