suria

Sudahlah tampar berulang kali, tarik rambut pula... Individu dipercayai anggota polis kasari orang awam disiasat

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang individu mengasari seorang lelaki.

SUDAHLAH ditampar berulang kali, ditarik rambutnya pula tanpa belas kasihan.

Tular video di media sosial yang menunjukkan seorang individu dipercayai anggota polis yang dirakamkan melakukan kekerasan terhadap seorang lelaki di tempat awam.

Rakaman berdurasi 37 saat itu menyaksikan mangsa yang sedang duduk dipercayai di sebuah restoran, ditampar sebanyak sembilan kali sambil rambutnya ditarik.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya mengesan video yang tular menerusi laman X.

Susulan video yang tular itu, katanya, polis akan menjalankan siasatan.

"Video tular itu turut memetik nama pegawai polis terbabit serta jawatannya.

"Kita akan siasat perkara ini dengan terperinci dan menggesa orang awam atau saksi kejadian untuk tampil membuat laporan dan menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Beliau menegaskan, tindakan mengikut undang-undang akan diambil terhadap pihak berkaitan tanpa kompromi.

Menerusi hantaran yang tular di laman X, individu yang dirakamkan melakukan kekerasan terhadap seorang lelaki didakwa anggota polis berpangkat sarjan mejar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain