suria

Pelanggan kritik nasi goreng, mi kuah warna pink... Restoran perjelas guna sos Thailand, banyak dipakai di kedai tomyam

Mi kuah dan nasi goreng yang didakwa berwarna merah jambu.

LAIN orang, lain citarasanya. Begitu juga dalam memilih makanan di sesebuah restoran.

Keterujaan seorang pelanggan untuk menikmati makan malam bersama keluarga terbantut, gara-gara makanan yang dibeli dari sebuah restoran di utara tanah air, didakwa berwarna merah jambu.

“Kita beli la mi kuah tiga bungkus, nasi goreng sebungkus bawa balik nak makan dengan famili. Kedai tak mahu sebut, tapi di kawasan Jejawi.

“Nak jual biar ikhlas. Ini apa semua warna pink (merah jambu), apa dia tak tahulah dengan nasi goreng macam tu total semua RM39,” luah seorang pelanggan di grup Facebook.

Sementara itu, di ruangan komen terdapat netizen yang turut melalui pengalaman hampir sama apabila makanan yang dipesan berwarna merah jambu.

“Beli nasi goreng ayam tiga bungkus, sekali buka semua warna pink. Potong selera, akhirnya ‘tong sampah’ yang makan. Maaf ya tuan kedai,” komennya yang menyebut nama kafe tersebut.

Hantaran mengenai kritikan pelanggan terhadap makanan di restoran tersebut.

Susulan hantaran yang tular itu, pihak restoran yang terletak di Perlis itu tampil memberi penjelasan bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai.

Dalam satu kenyataan dikongsi di grup Facebook yang sama, Ar Razzaq Cafe turut menyentuh satu komen yang secara langsung mengkritik restoran itu dan didakwa menghina makanan yang disediakan oleh mereka.

“Untuk makluman semua, harga jualan di kedai saya masih di bawah harga kawalan. Nasi goreng lebih kurang seperti dalam gambar ada dijual di kedai saya tetapi beserta dengan lauk (ayam campur paprik campur daging merah dan lain-lain) dengan harga RM8.50 sahaja.

“Mi kuah harga RM9. Jumlah semua tidak seperti harga yang dinyatakan dalam posting tersebut. Hanya RM35.50 sahaja untuk tiga mi kuah dan satu nasi goreng,” menurutnya yang menjelaskan tentang harga sebenar keempat-empat menu yang dipesan pelanggan terbabit.

Mengenai hidangan ‘merah jambu’ sebagaimana yang didakwa pelanggan, Ar Razzaq Cafe dalam kenyataan yang sama menjelaskan bahawa warna tersebut adalah sos labu yang digunakan untuk kebanyakan hidangan mereka.

Malah katanya, penggunaan sos tersebut tidak asing lagi dalam kalangan pengusaha kedai tom yam.

“Warna merah tersebut adalah sos labu yang terkenal di Thailand yang kebanyakan digunakan di kedai-kedai tomyam,” menurut kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, pihak restoran menasihati semua pihak yang mahu mengkritik perlu dilakukan secara berhemah dengan fakta yang lebih jelas.

“Dikhuatiri akan berlaku fitnah dan salah sangka kepada kedai-kedai lain yang tidak terlibat. Sekiranya ada masalah berkenaan di kedai saya, boleh terus berhubung dengan saya di kedai.

“Segala kritikan daripada para pelanggan amat kami hargai bagi meningkatkan lagi produktiviti kedai di masa hadapan. Terima kasih,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain