suria

Selisih faham bertukar tragedi, suami kelar isteri sebelum cederakan diri sendiri

Suspek ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta.

PERSELISIHAN faham bertukar tragedi apabila seorang lelaki bertindak mengelar isterinya beberapa kali menggunakan pisau pemotong.

Kejadian berlaku di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) berhadapan sebuah kondominium di Klang, Selangor, pada tengah hari Jumaat.

Suspek berusia 50 tahun itu kemudian ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta di lokasi berlainan dengan beberapa kesan kelar di badan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai satu kejadian seorang lelaki menikam seorang wanita, pada pukul 1.41 petang.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa berusia 49 tahun dan suspek adalah pasangan suami isteri warga tempatan.

“Kira-kira pukul 1 tengah hari, suspek bersama mangsa menaiki kereta dalam perjalanan ke kedai makan dan berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum suspek menghentikan kereta di bahu jalan.

"Suspek kemudian bertindak mengelar mangsa beberapa kali mengunakan pisau pemotong sebelum mangsa yang dalam ketakutan keluar dari kereta untuk meminta bantuan orang awam.

"Apabila sebuah kereta berhenti untuk memberikan bantuan, suspek terus melarikan diri dengan memandu kenderaannya," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Bertindak atas maklumat, beliau berkata, kereta peronda Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan kemudian mengesan dan menjumpai kereta suspek di Jalan Batu Nilam 34, Bandar Bukit Tinggi di Klang.

"Anggota polis mendapati suspek dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta dan bertindak memecah cermin tingkap untuk membuka pintu kereta dan menyelamatkan suspek dengan bantuan pihak ambulans," katanya.

Mengulas lanjut, Hoong Fong berkata, suspek dipercayai mencederakan diri sendiri dan mengalami beberapa luka kelar di bahagian badan termasuk leher, bahu, tangan, kaki dan belakang badan.

"Suspek dalam keadaan berlumuran darah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk pemeriksaan dan rawatan," katanya.

Hoong Fong berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu atas kesalahan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

"Pihak polis juga mendapati beberapa video berkaitan kejadian ini tular di media sosial justeru orang awam dinasihatkan supaya tidak menularkan video tersebut agar tidak mendatangkan kegusaran masyarakat setempat," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain