SEORANG guru lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Melaka atas kesalahan mencabul kehormatan muridnya di dalam bilik darjah, dua tahun lalu. K Ramakrishnan, 42, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nariman Badruddin pada Jumaat. Berdasarkan pertuduhan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan ketika itu berusia 11 tahun semasa sesi pembelajaran. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kelas Tahun Lima di sebuah sekolah di Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka sekitar pukul10 pagi pada 26 Mei 2022. Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan. Menurut peguamnya S Karthigesan, tertuduh sudah berkahwin dan kini sudah ditukarkan serta bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari yang membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 Februari depan bagi serahan dokumen. The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube