AKHBAR Bahasa Malaysia mingguan premium, Majoriti 7 menempa kejayaan apabila meraih gangsa bagi kategori Rangkaian Media pada Anugerah Putra Aria Brand 2023, pada Khamis malam. Pengiktirafan itu membuktikan kredibiliti akhbar tersebut memperkukuh kedudukannya dalam kalangan pengiklan sebagai produk yang memiliki nilai tawaran unik dan distribusi secara kreatif dalam pasaran niaga yang khusus. Anugerah Putra Aria Brand 2023 dianjurkan oleh Persatuan Ejen-ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As), di mana anugerah dicipta untuk mengiktiraf pemasar dan pembina jenama. Keputusan berdasarkan hasil tinjauan dan penyelidikan secara dalam talian bagi menentukan jenama pilihan pengguna dalam kategori berbeza. Pengurus Besar Kanan Produk Kumpulan Media Star, Chung Eng Lee berkata, pengiktirafan daripada Anugerah Putra Aria Brand 2023 ini menjadi sumber kebanggaan yang amat bermakna buat Majoriti 7. "Anugerah yang ditentukan oleh para pengguna melalui penilaian pemilihan, menggariskan dedikasi pasukan kami untuk memupuk sebuah jenama yang dikehendaki oleh pembaca. "Ia bukan sahaja mengesahkan usaha kami, tetapi juga menyemarakkan motivasi kami untuk terus melangkaui sempadan dan menetapkan piawaian baharu yang lebih dinamik dalam arena media massa,” katanya. Berpandukan etos 'Adrenalin Metropolitan,' kata Eng Lee, Majoriti 7 secara konsisten menawarkan perspektif bernas dalam ruang lingkup tersendiri. "Pencapaian ini terus mendorong kami untuk memberikan komitmen berterusan dan terus cemerlang dalam kategori Rangkaian Media dan kami amat berbesar hati di atas pengiktirafan itu," katanya lagi. Majlis berprestij itu turut dihadiri Pemimpin Redaksi Majoriti 7, Suzie Adnan. Anugerah tersebut merupakan bukti komitmen berterusan Majoriti 7 untuk membina jenama mewakili selera pembaca dengan slogan 'Adrenalin Metropolitan' yang menjadi refleksi kepada keunikan persada tempatan dan antarabangsa sejak pelancarannya pada 20 Oktober 2022. Akhbar Bahasa Malaysia mingguan premium pertama negara, Majoriti 7, adalah yang pertama seumpamanya dalam bahasa kebangsaan. Daripada perniagaan, teknologi kepada hartanah dan liputan meluas berkaitan gaya hidup, Majoriti 7 disusun khas untuk merangkumi pelbagai segmen yang memenuhi keperluan masyarakat bandar. Memfokuskan pada kedudukan khusus Majoriti 7 bagi produk dan segmentasi pembaca adalah faktor kejayaan utama yang membezakannya daripada produk lain di pasaran. Selain itu, Majoriti 7 turut mewakili suara baharu masyarakat Melayu moden dan progresif yang mana penilaian kandungannya memenuhi kehendak jenama berkaitan. Dengan permulaan tahun baharu ini, Majoriti 7 akan terus melebarkan jaringan dengan kepelbagaian kandungan kreatif yang meningkatkan pengalaman pembaca. Anugerah Putra Aria Brand 2023 dikonsepsualkan oleh 4As sebagai simbol penghormatan bagi mengiktiraf usaha pihak media dalam membina jenama. Anugerah ini ditubuhkan berdasarkan hasil kaji selidik secara dalam talian yang menentukan jenama pilihan konsumer dalam kategori berbeza. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube