SEORANG lelaki yang menjual video lucahnya dengan melakukan hubungan seks bersama lebih 20 wanita menerima padah, apabila ditahan di Janda Baik, Pahang. Suspek berusia 31 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sebuah rumah di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang, pada pukul 2.30 petang. Selain suspek, dua wanita berusia 23 dan 27 tahun turut ditahan. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek dikesan mempromosi video aktiviti seksnya di Telegram. “Siasatan awal mendapati suspek utama pernah berkahwin dua kali dan bercerai. “Dia mula menjual kononnya ubat kuat seks dari China melalui media sosial sejak awal tahun lalu,” katanya. Mohd Shuhaily berkata, suspek kemudian mula merakam aksi seks dengan ramai wanita dan menjual video tersebut melalui tiga saluran di Telegram, sejak Julai lalu. “Selain mempunyai teman wanita, suspek dipercayai bekerja sebagai gigolo malah meniduri pelanggan atau pelanggan dalam saluran Telegram miliknya,” katanya ketika dihubungi pada Khamis. Beliau berkata, suspek akan menyiarkan pautan untuk melanggan videonya melalui iklan di Telegram. “Selepas pembayaran dibuat, suspek akan menghantar satu lagi pautan kepada pelanggan untuk menonton video lucah tersebut. “Siasatan juga mendapati sehingga 16 Januari lalu, suspek mempunyai 2,051 pelanggan yang membayar RM100 sebulan untuk pakej 200 video dan 622 pelanggan untuk pakej 13 video pada harga RM20 sebulan,” katanya. Tambah Mohd Shuhaily, pelanggan terdiri daripada lelaki dan wanita, yang mana sebahagiannya adalah golongan profesional seperti doktor dan usahawan. Menurutnya, wanita yang ingin melakukan hubungan seks bersama suspek turut dikenakan syarat termasuk perbuatan itu dirakam dan dijual. "Suspek dan dua wanita itu (ditahan) dipaparkan dalam video seks untuk dijual. Kami juga sedang mengesan wanita lain yang terlibat dalam video lain," katanya sambil menambah turut dirampas lima telefon bimbit dan dua kad ATM yang digunakan untuk menguruskan dana daripada langganan. Ketiga-tiga mereka direman selama lima hari sehingga Isnin, dan disiasat mengikut Seksyen 372 (1)(e) Kanun Keseksaan atas kesalahan mempromosi aktiviti seks untuk mendapatkan keuntungan dan boleh dihukum penjara 19 tahun, sebatan dan denda sekiranya disabitkan kesalahan. Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 atas kesalahan menyalahgunakan kemudahan rangkaian telekomunikasi. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube