CEMBURU dan sakit hati, itu merupakan motif pembunuhan Mira Sharmila Samsusah, 32, atau Bella. Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam sidang media, pada Rabu. Beliau berkata, polis mengenal pasti perkara itu susulan hasil siasatan menyeluruh yang dilakukan. "Motif pembunuhan Bella adalah kerana kes cemburu dan sakit hati. "Daripada motif itulah kita memulakan dan mendapat bayangan siasatan kita. Jadi inilah motif yang kita tahu menerusi siasatan dibuat,” katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Teman lelaki bekas posmen akhirnya dituduh bunuh Bella ARTIKEL BERKAITAN: Sah rangka manusia ditemukan di rumah terbiar milik Bella! Mengulas lanjut, beliau berkata, punca kematian Bella disebabkan keretakan di kepala mangsa akibat objek tumpul. Sementara itu, mengenai dakwaan netizen yang tular di media sosial kononnya Bella hamil, Razarudin berkata, hanya laporan bedah siasat menyeluruh yang dapat menentukan perkara itu. “Disebabkan kita jumpa rangka saja, perkara itu tidak dapat disahkan. "Sama ada mangsa mengandung atau tidak, laporan bedah siasat menyeluruh akan menentukannya,” katanya. Dalam kejadian bunuh itu, mayat Bella ditemukan dalam keadaan rangka tidak sempurna pada petang Jumaat lalu di sebuah rumah sewa terbiar di Batu 7, Tongkang Pechah di Batu Pahat. Penemuan rangka itu menjawab misteri kehilangan Bella selepas mangsa didakwa keluar bersama suspek yang merupakan teman lelakinya, pada malam 14 Disember 2023. Pada Selasa lalu, polis dalam satu kenyataan memaklumkan rangka ditemui itu adalah milik Bella selepas ujian DNA dilakukan berpadanan dengan sampel yang diambil daripada ibu dan kakak Bella. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube