SUSPEK utama kes pembunuhan Mira Sharmila Samsusah, 32, atau Bella akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor pada Rabu atas pertuduhan bunuh. Tertuduh Mohammad Haikal Mahfuz, 24, yang diwakili peguam Syahril Anuar mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Asidah A Rahman, namun tiada pengakuan direkodkan. Mohamad Haikal yang juga teman lelaki mangsa didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 11 malam pada 14 Disember 2023 hingga jam 5.30 pagi hari berikutnya. Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara Jalan Kelapa Bali, Taman Soga, hingga ke sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pechah di Batu Pahat. ARTIKEL BERKAITAN: Sah rangka manusia ditemukan di rumah terbiar milik Bella! Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun atau tidak melebihi 40 tahun jika sabit kesalahan. Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan bedah siasat. Tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh yang juga merupakan seorang bekas posmen sementara menunggu tarikh sebutan. Dalam kejadian bunuh itu, mayat Bella ditemukan dalam keadaan rangka tidak sempurna pada petang Jumaat lalu di sebuah rumah sewa terbiar selepas tertuduh membawa polis ke lokasi berkenaan. Penemuan rangka itu menjawab misteri kehilangan Bella selepas mangsa didakwa keluar bersama tertuduh pada malam 14 Disember 2023. Pada Selasa lalu, polis dalam satu kenyataan memaklumkan rangka ditemui itu adalah milik Bella selepas ujian DNA dilakukan berpadanan dengan sampel yang diambil daripada ibu dan kakak Bella Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube