PENGANGGUR warga Pakistan mengaku bersalah atas tuduhan merogol dan merompak seorang wanita di sebuah jejantas di Serdang, Selangor dalam kejadian dua minggu lalu. Tertuduh, Muhamad Mudasar, 23, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Urdu di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh di Mahkamah Seksyen, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa. Dalam pertuduhan tersebut, lelaki itu didakwa merogol seorang wanita tempatan berusia 29 tahun, dengan mengacukan pisau menyebabkan mangsa dalam ketakutan, kematian atau kecederaan. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan. Selain itu, Muhammad Mudasar didakwa merompak telefon pintar dan wang tunai RM80 milik mangsa menggunakan sebilah pisau sebagai senjata ketika melakukan kesalahan itu. Malah, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan. Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di jejantas stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Serdang, 12.45 tengah malam, 14 Januari lalu. Muhammad Mudasar turut didakwa bersama-sama rakan senegaranya, Muhammad Waqas, 29, atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap wanita berusia 20 tahun dengan merompak dua telefon bimbit menggunakan pisau pada 11.15 malam, 30 Disember tahun lalu di tempat yang sama. Bagi pertuduhan itu, Muhamad Mudasar mengaku bersalah, manakala Muhammad Waqas yang menangis selepas pertuduhan dibacakan mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan. Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim memohon supaya mahkamah menetapkan satu tarikh singkat bagi menjatuhkan hukuman ke atas Muhamad Mudasar. Tambahnya, beliau juga tidak mencadangkan sebarang jaminan ke atas kedua-dua tertuduh. Syahliza kemudian bersetuju dengan permohonan itu dan menetapkan 26 Februari ini bagi fakta kes dan hukuman ke atas tertuduh. Bagi sebutan semula kes bagi Muhammad Waqas ditetapkan pada tarikh sama di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor untuk serahan dokumen. Mahkamah turut tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili oleh mana-mana peguam. Memetik laporan mStar pada 17 Januari lalu, polis menahan kedua-dua lelaki itu di kawasan kaki lima kondominium Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan sekitar jam 8.30 malam pada 14 Januari lalu. Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, dalam kejadian 12.40 tengah malam itu, mangsa yang baru seminggu bekerja sebagai promoter sambilan di pusat beli-belah di Putrajaya dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Besi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube