suria

Peniaga wanita melopong, RM6 juta hilang sekelip mata akibat skim pelaburan emas

Emas merupakan pelaburan jangka panjang yang terbaik. -Gambar hiasan

GARA-GARA ingin menggandakan wang, seorang warga emas kerugian lebih RM6 juta selepas melakukan beberapa transaksi berkaitan pelaburan emas.

Menurut Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, peniaga wanita berusia 61 tahun itu hanya menyedari ditipu pada 22 Januari lalu apabila gagal untuk mengeluarkan sebahagian dari wang pelaburannya berjumlah RM2.2 juta.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa mula mengenali skim terbabit selepas melayari blog pelaburan di Facebook pada 14 Oktober lalu ketika di rumahnya di Taman Rasi Jaya, Ipoh.

"Mangsa kemudian berkomunikasi menerusi WhatsApp dengan seorang individu selepas menekan pautan melalui blog pelaburan terbabit," ujarnya dalam kenyataan.

Tambah beliau, susulan daripada itu, nombor telefon mangsa dimasukkan ke beberapa kumpulan WhatsApp berbeza bagi tujuan pelaburan emas berkenaan.

"Mangsa memasukkan pelaburan berjumlah RM6.22 juta melalui 32 transaksi ke 11 akaun bank yang berbeza. Pada 22 Januari lalu mangsa gagal mengeluarkan wang pelaburan berjumlah RM2.2 juta dan suspek tidak membalas komunikasi mangsa.

"Platform pelaburan itu juga tidak dapat diakses, justeru mangsa baru tersedar dia ditipu suspek. Pelaburan itu juga hanya menggunakan link/url (pautan) laman sesawang yang diberi suspek," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain