JIJIK dan tidak berperikemanusiaan. Begitulah yang dapat digambarkan mengenai tindakan seorang lelaki yang tergamak memaksa anak tirinya minum air kencing. Dia juga didakwa mengelar tangan seorang lagi anak tirinya dalam kejadian di sebuah flat di Jalan Kenanga, Dang Wangi, Kuala Lumpur, bulan lalu. Namun lelaki itu, R Segaran, 38, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Izralizam Sanusi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin. Berdasarkan pertuduhan, pemandu peribadi itu didakwa memaksa anak tiri perempuannya yang berusia 10 tahun satu bulan meminum air kencing melalui botol. Dia juga didakwa mengelar tangan anak tiri lelakinya yang berusia 14 tahun satu bulan. Dua insiden itu didakwa berlaku pada 5 pagi, 15 Disember dan 7 pagi, 16 Disember lalu. Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, Roslizi Sulaiman tidak menawarkan jaminan kerana bimbang keselamatan mangsa sekiranya tertuduh dilepaskan dengan jaminan. Hakim tidak meletakkan sebarang jaminan sebaliknya mahkamah meminta tertuduh mencari penjamin terlebih dulu. Mahkamah menetapkan 28 Februari ini untuk sebutan kes bagi lantikan peguam. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube