suria

Kejam! Wanita OKU dipukul dengan kayu panjang, diseterika hingga maut selepas cubit budak 3 tahun

Wanita sering menjadi mangsa keganasan. -Gambar hiasan

TIDAK berperikemanusiaan.

Begitulah tindakan sekumpulan lelaki yang tergamak memukul seorang wanita berstatus orang kurang upaya (OKU) intelektual menggunakan kayu panjang.

Lebih menyedihkan apabila mangsa juga diseterika berulang kali sehingga mati.

Mayat mangsa ditemukan oleh kakaknya di sebuah rumah di Seri Kembangan, Selangor.

Difahamkan, mangsa dibunuh kejam kerana mencubit dan memarahi seorang kanak-kanak berusia lingkungan tiga tahun.

Ketua Polis Daerah Serdang, AA Anbalagan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 12 tengah hari, pada Ahad.

"Polis menerima maklumat dari kakak mangsa memaklumkan adik perempuannya ditemui meninggal dunia di rumah berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati, mangsa maut dipukul menggunakan kayu panjang dan diseterika secara berulang-ulang sehinggakan mengalami kecederaan pada tubuh badan mangsa," katanya dalam kenyataan.

Susulan itu, katanya, polis menahan tujuh individu iaitu empat lelaki dan tiga wanita pada pukul 4 petang hari yang sama dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

"Semua suspek berusia lingkungan 25 hingga 79 tahun dan berasal dari Lembah Klang.

"Siasatan lanjut mendapati motif kejadian bunuh disyaki kerana mangsa yang memegang kad OKU (Intelektual) dikatakan memarahi dan mencubit anak salah seorang suspek berusia lingkungan dua hingga tiga tahun," katanya.

Katanya, empat suspek direman selama tujuh hari sehingga 28 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala tiga lagi suspek diberi jaminan polis.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Rosnani di talian 018-2771866,"katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain