HUJAN emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi di negeri sendiri! Walaupun negara di Barat lebih moden dan canggih gaya kehidupannya, hakikatnya tiada tempat yang lebih baik berbanding tanah kelahiran sendiri. Melalui satu video tular di TikTok, seorang lelaki dikenali sebagai Hamal Siren yang melancong ke Los Angeles, Amerika Syarikat terkedu apabila melihat keadaan kereta api di situ. Menurut Hamal, stesen kereta api bawah tanah mereka dipenuhi dengan sampah sarap selain menjadi 'sarang' gelandangan pada waktu malam di mana mereka bergelimpangan tidur di atas bangku dan juga lantai. Di dalam video sama, Hamal juga merakam babak seorang lelaki gelandangan dengan selamba muntah di atas lantai dipercayai kerana mabuk. Sementara itu, di dalam kereta api pula, Hamal menggambarkan tentang baunya sangat busuk kerana dipenuhi gelandangan yang menjadikan gerabak sebagai 'bilik tidur' sehingga menyebabkan ruang tempat duduk penumpang terhad. Rata-rata rakyat Malaysia menzahirkan rasa syukur dengan keadaan pengangkutan awam di Malaysia selepas menyaksikan tahap kebersihan stesen kereta api di Los Angeles. "Kita selalu pandang rendah dekat negara sendiri, anggap kita punya prasarana macam kelas ketiga, tapi realitinya kita adalah negara maju membangun dengan fasiliti berkelas dunia. "Amerika Syarikat walaupun negara first world, tapi mentaliti rakyat mereka kebanyakannya jauh mundur daripada kita. Ini yang ramai orang Malaysia tak sedar, dari luar semuanya nampak cantik, duduk di sana dulu baru faham. "Syukur dengan apa yang kita ada sekarang di Malaysia, hidup jangan terlalu mendongak ke langit, takut tersungkur menyembah bumi," ujar sebahagian warga maya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube