suria

Lima anggota MPV termasuk sarjan direman terlibat peras ugut

Peras ugut adalah satu jenayah dan boleh dihukum penjara.

DIDAKWA melakukan pemerasan terhadap seorang pekerja kilang, lima anggota dari Ibu Pejabat Polis dan Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah Pulau Pinang direman empat hari untuk siasatan lanjut.

Penahanan kesemua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) termasuk seorang berpangkat sarjan berusia antara 24 hingga 48 tahun itu dilakukan pada Jumaat, susulan laporan mangsa.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin, berkata mangsa mendakwa sedang memandu kereta Toyota Vios untuk pulang ke rumahnya di Simpang Ampat sebelum ditahan anggota polis yang menaiki dua kereta MPV pada pukul 10.15 malam Khamis.

"Mangsa mendakwa ditahan dua kereta MPV dan tiga anggota keluar menjalankan pemeriksaan... mereka kemudian menemui satu beg plastik mengandungi serbuk dipercayai dadah.

"Mangsa menafikan dadah itu miliknya dan anggota di lokasi mengatakan dadah terbabit adalah milik mangsa dan boleh dikenakan hukuman berat.

"Kemudian, datang sebuah lagi kereta MPV yang dinaiki dua anggota sebelum mengarahkan mangsa membayar RM10,000 bagi mengelak ditahan," katanya.

Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, berlaku perbincangan antara mangsa dengan kesemua anggota polis berkenaan sebelum mangsa dilaporkan membuat bayaran RM4,500 kepada salah seorang anggota di lokasi lain tidak jauh dari lokasi dia ditahan di Jalan Permatang Tinggi.

"Selepas itu, mangsa membuat laporan polis dan bertindak atas aduan berkenaan, polis membuat tangkapan terhadap lima anggota itu bagi membantu siasatan.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai serta anggota yang terlibat dalam jenayah mahupun rasuah seperti arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

"Dalam hal ini, siasatan terhadap warga PDRM yang terlibat dalam salah laku jenayah akan dilakukan secara telus selain mereka berdepan tindakan tegas.

“Polis meminta kerjasama orang awam supaya tidak membuat spekulasi dan memberi peluang polis menjalankan siasatan," katanya.

Kelima-lima anggota polis itu kini direman selama empat hari hingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain