suria

DSP antara lima pegawai polis Melaka ditahan miliki ketum

Antara rampasan di kediaman berkenaan.

PADAH memiliki 5,200 mililiter (ml) cecair ketum, lima pegawai polis termasuk Deputi Superintendan (DSP) ditahan di sebuah kediaman di Alor Gajah, pada Isnin.

Kelima-lima pegawai itu bersama seorang lagi orang awam yang kesemuanya berusia antara 31 sehingga 55 tahun ditahan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pada pukul 11.30 malam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pegawai kanan yang ditahan masing-masing bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Katanya, tiga lagi ditahan adalah pegawai rendah daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Alor Gajah dengan dua daripadanya berpangkat Sarjan di Cawangan Mahkamah serta Penolong Penyiasat, manakala seorang Lans Koperal.

“Hasil pemeriksaan di dalam premis iaitu kediaman salah seorang pegawai berpangkat Sarjan telah membawa kepada rampasan tiga botol dan plastik lutsinar mengandungi cecair ketum seberat 5,200 ml.

“Turut dirampas adalah sepasang uniform operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan satu besen bewarna hijau,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut beliau berkata, permohonan reman ke atas kesemua suspek akan dibuat pada Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain