suria

Gaduh depan restoran makanan segera, 5 ditahan termasuk seorang warga asing

Tangkap layar video pergaduhan di hadapan sebuah restoran makanan segera.

KECOH di media sosial mengenai video tular menunjukkan pergaduhan yang berlaku di hadapan sebuah restoran makanan segera.

Rakaman berdurasi 16 saat itu memaparkan pergaduhan yang disaksikan para pelanggan di dalam restoran termasuk orang awam yang melalui kawasan itu.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan insiden yang berlaku di hadapan premis perniagaan itu di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan rakaman video yang tular pada pukul 11.50 pagi Isnin.

"Polis menahan seramai lima individu terdiri daripada empat warga tempatan berusia 20 tahun dan seorang warga asing berusia 33 tahun.

"Kesemua mereka dipercayai terbabit dalam pergaduhan yang berlaku kelmarin lebih kurang pukul 8.30 malam," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Noor Dellhan berkata, kesemua suspek lelaki warga tempatan direman sehari bermula Selasa manakala warga asing tersebut selama empat hari bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular rakaman video di media sosial berkaitan kejadian pergaduhan itu yang dipercayai dirakam oleh pelanggan yang berada di dalam premis perniagaan tersebut.

Rakaman itu menunjukkan sekumpulan individu dipercayai pekerja sebuah restoran makanan segera bergaduh dengan individu lain sementara beberapa pekerja lain cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain