suria

Pelanggan tengking pekerja ‘carwash’, siap heret sebab tak puas hati... Lepas puas mengamuk hanya bayar RM10

Rakaman CCTV menunjukkan sikap seorang pelanggan di premis cucian kereta.

BAGI pekerja dalam bidang perkhidmatan, berdepan dengan pelbagai kerenah pelanggan merupakan lumrah yang harus ditempuhi.

Jika tidak kuat mental dan cepat hilang sabar, silap-silap boleh mencetuskan pergaduhan yang boleh memburukkan keadaan.

Begitulah juga dengan situasi yang dilalui beberapa pekerja di sebuah kedai cuci kereta apabila dimarahi dan dikasari seorang pelanggan, baru-baru ini.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial sejak Sabtu, kelihatan seorang pelanggan lelaki menengking dan memaki kakitangan kedai terbabit yang sedang melakukan kerja-kerja cucian pada sebuah kereta, dipercayai miliknya.

Bagaimanapun menerusi video berdurasi kira-kira seminit dan 45 saat itu, tidak dapat dipastikan punca pelanggan berkenaan 'mengamuk' kerana audio yang kurang jelas.

Selain menengking, pelanggan berkenaan turut dilihat bertindak kasar apabila mengheret salah seorang pekerja terbabit kerana tidak berpuas hati dengan cucian pada kenderaannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan tunjuk pandai, maki hamun barista dapat Americano panas cawan kecil... Mujur gadis ini ‘cool’ walau kena jerkah!

Pekerja-pekerja berkenaan juga dilihat terus menyelesaikan tugas mereka tanpa melawan sehingga akhir video.

Video yang dimuat naik di laman sosial milik premis berkenaan mengundang perhatian netizen dan sehingga kini meraih lebih 81,000 jumlah tontonan.

maki 1

Pelanggan tersebut dilihat sempat memberikan kata-kata berbaur amaran sebelum meninggalkan premis berkenaan.

"Kami daripada pihak Posto Carwash minta maaf jika pekerja kami buat salah atau lambat. Tapi rasanya boleh cakap baik-baik. Mereka pun manusia, ada hati dan perasaan," tulis pengendali akaun laman sosial premis berkenaan.

Menerusi paparan pada CCTV berkenaan, dipercayai insiden berlaku pada Jumaat lalu, di cawangan kedai cuci kereta berkenaan di Puncak Alam.

Menerusi ruangan komen, pihak premis memaklumkan punca pelanggan berkenaan bertindak sedemikian disebabkan kenderaannya lambat dicuci.

"Dia kata lambat siap. Masa tu ada dua kereta. Kalau lambat, saya minta maaf tapi boleh cakap baik-baik kan," tulisnya sambil menambah, pelanggan berkenaan membayar RM10 untuk perkhidmatan mereka.

Menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya mengecam sikap pelanggan berkenaan yang disifatkan sebagai biadab.

"Pandai abang ni... akhirnya nak bayar murah je.

"Itu belum lagi pakai Merc atau BMW.

"Pakai Alza je. Orang lain pakai kereta mahal pun relaks je tunggu," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain