KEHILANGAN insan tersayang mahupun rakan pastinya memberi tamparan hebat kepada sesiapa sahaja yang mengalami situasi ini. Tidak terkecuali sahabat baik kepada pembantu jurutebang Roshaan Singh Rain yang maut dalam nahas pesawat ringan di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang, Selangor, pada Rabu. Membuat luahan perasaan menerusi hantaran Facebook, pemilik akaun yang dikenali sebagai Navin itu berkata, pada pagi kejadian, Roshaan telah menghantar mesej dalam kumpulan sembang 'Primary School United' memaklumkan dia akan pergi melakukan penerbangan solo pertamanya. Susulan kiriman mesej tersebut, dia dan rakan-rakan lain mengucapkan selamat kepadanya. Menurutnya lagi, dia kemudian menghantar mesej sekali lagi pada pukul 2.30 petang bagi mengetahui keadaan semasa Roshaan dan bertanya mengenai penerbangan solonya. Bagaimanapun, mesej yang dihantarnya tidak berjawab. "Sebelum tidur pukul 1 pagi, saya berasa tidak senang dan melakukan pencarian 'nahas kapal terbang' di internet, saya tidak tahu mengapa saya berbuat demikian, dan saya kecewa apabila menemui beberapa artikel kejadian. "Saya terkejut, marah dan tidak percaya... saya tidak mampu mencari perkataan yang sesuai," katanya sambil memaklumkan mendiang adalah rakan sekelas dari sekolah rendah. Katanya, Roshaan dan seorang lagi rakan dikenali sebagai Ranjiv berkawan rapat sejak belajar di Woodlands Primary School Singapura, malah digelar 'Three Musketeers'. "Kami bertemu semula beberapa bulan yang lalu selepas bertahun-tahun lamanya dan ia adalah pertemuan yang penuh emosi, berkongsi gambar, cerita dan pengalaman. "Kami merancang untuk bertemu sekali lagi pada Mac ini dan berbasikal di sekitar rumah lama Ranjiv. "Saya akan merindui kamu," katanya menerusi akaun Facebook. Sementara itu, mayat Roshaan tiba di kediaman keluarganya di Sunway Bukit Lenang, pukul 9.50 malam, Rabu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube