suria

3 termasuk pengerusi, CEO Aman Palestin didakwa 164 tuduhan pecah amanah, tipu, pengubahan wang haram RM39.5 juta

Abdullah Zaik, seorang daripada tiga yang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam. -Gambar MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

TIGA individu yang dikaitkan dengan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, pada Khamis atas 164 tuduhan pecah amanah, menipu dan terbabit pengubahan wang haram berjumlah keseluruhan RM39.5 juta.

Kesemua mereka adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut, 52, Pengerusi Eksekutif Aman Palestin, Abdullah Zaik Abd Rahman, 58, dan pengarah sebuah syarikat pelaburan, Khairudin Mohd Ali, 49.

Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

ARTIKEL BERKAITAN: 41 akaun bank dibeku SPRM, Aman Palestin disyaki seleweng wang derma orang awam berjumlah RM70 juta

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) dibaca bersama Seksyen 87(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM1 juta bagi Awang Suffian dan Abdullah Zaik, manakala Khairudin (RM200,000) dengan seorang penjamin.

Kesemua mereka perlu membayar separuh daripada nilai jaminan itu pada hari ini dan bakinya sebelum 13 Mac depan.

Hakim turut mengarahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes bagi kesemua tertuduh ditetapkan pada 13 Mac depan.

Pada November tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan membeku 41 akaun bank syarikat pertubuhan Aman Palestin bernilai RM15,868,762.

Ia berhubung siasatan agensi penguatkuasaan itu terhadap dakwaan syarikat pertubuhan amal berkenaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober lalu. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain