MAHKAMAH Rayuan Putrajaya mengekalkan hukuman penjara 13 bulan ke atas seorang bekas mudir tahfiz dikenali sebagai 'Ustaz Budak' kerana melakukan kelucahan melampau, empat tahun lalu. Keputusan menolak rayuan itu dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin pada Jumaat. Menerusi penghakiman itu, mahkamah menolak permohonan Syamsul Zaman Sukri, 36, untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan sabitan dan hukuman itu terhadapnya. Mengikut pertuduhan, bekas mudir sebuah tahfiz di Machang, Kelantan itu didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang ahli perniagaan lelaki yang berusia 30 tahun dengan mencium pipinya di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan, pukul 1.15 pagi, 16 Disember 2020. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan. Untuk rekod, Mahkamah Majistret Kota Bharu pada 9 Mac tahun lalu menjatuhi mudir tersebut hukuman penjara 13 bulan selepas dia didapati bersalah namun penangguhan hukuman terhadapnya dibenarkan sepanjang tempoh rayuan. Pada 21 November tahun sama, Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengekalkan hukuman dan sabitan itu dan mengarahkan hukuman pemenjaraan berkuat kuasa serta-merta. Dia sebelum ini pernah didakwa di beberapa mahkamah di Kelantan melebihi 10 kes melibatkan jenayah seksual terhadap beberapa mangsa lelaki termasuk bekas pelajarnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube