suria

Ibu mengaku salah bancuh susu anak campur dadah... Bapa pula tidak, mohon bicara

Mangsa mengalami ‘allegedsympathomimetic drug ingestion’ selepas diberi minum susu bercampur dadah. -Gambar hiasan

PASANGAN suami isteri yang melakukan penganiayaan terhadap anak lelaki mereka dengan memberi susu bercampur dadah merbahaya jenis Methamphetamine dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

Tertuduh, Nabila Huda Fadli, 34, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Manakala suaminya, Sofian Mustapa Zain, 40, pula mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan yang sama.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didapati melakukan penganiayaan terhadap bayi lelaki berusia satu tahun empat bulan dengan memberi minum susu bercampur dengan air yang mengandungi dadah merbahaya jenis Methamphetamine.

Akibat daripada tindakan itu mangsa mengalami ‘allegedsympathomimetic drug ingestion’.

Kesalahan dilakukan pada 19 Februari lalu kira-kira pukul 6 petang di Blok F, Apartment Medan Jaya, Taman Medan, Petaling Jaya.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31 (1)(a), Akta Kanak-Kanak 2001 bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak aktif semacam selepas ibu bancuh susu guna air syabu milik suami! Pasangan suami isteri ditahan

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh selain syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi kes.

Bagaimanapun dalam rayuannya, Nabila Huda memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan tidak bekerja selain perlu menjaga ibu dan tiga anaknya.

Sofian pula memberitahu mahkamah dia juga tidak bekerja tetap serta perlu menanggung keluarga yang lain.

Mahkamah kemudian membenarkan pasangan suami isteri itu diikat jamin RM5,000 seorang beserta syarat tambahan yang dikemukan pihak pendakwaan.

Hakim Dr Syahliza juga menetapkan 13 Mac depan untuk fakta dan jatuh hukum bagi Nabila Huda manakala lantikan peguam dan pengurusan kes untuk Sofian.

Pasangan itu sebelum ini ditahan selepas tersilap membancuh susu bayi mereka dengan air mengandungi dadah di sebuah flat di Taman Medan, pada 19 Februari lalu.

Bayi lelaki berusia setahun empat bulan itu difahamkan dihantar kepada neneknya berusia 55 tahun yang tinggal di Seri Kembangan pada hari kejadian.

Semasa dalam jagaan neneknya, mangsa tidak berhenti menangis, terlalu aktif dan sukar dikawal sebelum si nenek bertanyakan mengenai perkara itu kepada ibu mangsa.

Ibu mangsa kemudian mengaku tersilap membancuh susu bayi malang ini menggunakan air syabu milik suaminya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain