suria

Lelaki didakwa tolak kekasih dari tingkat 23, penghuni dengar pergaduhan sebelum bunyi mangsa terhempas di lantai

Tangkap kayar video yang tular di media sosial.

POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai menolak kekasihnya dari tingkat 23 sebuah apartment di Setia Alam selepas berlakunya pergaduhan pada Rabu malam.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu sekitar pukul 10.02 malam.

"Menurut saksi, dia terdengar pergaduhan antara mangsa dan suspek serta melihat mangsa ditolak dari tingkat 23 dan jatuh ke tingkat tujuh di kondominium tersebut.

"Pada Rabu pukul 10.10 malam, tangkapan telah dibuat ke atas suspek di tempat kejadian,” ujarnya.

Menurut Mohd Iqbal, mangsa yang maut adalah wanita warga Thailand berusia 32 tahun yang tidak memiliki pekerjaan.

Suspek yang berusia 37 tahun pula merupakan seorang pemandu lori.

Saringan air kencing yang dibuat mendapati suspek positif dadah jenis Canabis.

Suspek juga memiliki tujuh rekod jenayah dan satu rekod dadah.

ARTIKEL BERKAITAN: Bergaduh, dihumban masuk kolam... Wanita minta polis tak teruskan siasatan, tak mahu pakwe kena tindakan

Dalam pada itu, Mohd Iqbal berkata suspek akan direman pada Khamis di Mahkamah Shah Alam.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau pemenjaraan bagi satu tempoh yang tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Terdahulu, seorang penghuni apartment itu memuat naik video pergaduhan antara pasangan berkenaan sehingga ia tular di media sosial.

Berdasarkan rakaman itu, jelas kelihatan seorang wanita jatuh dari tingkat 23 sebelum disusuli bunyi kuat akibat terhempas di atas lantai.

Ramai netizen meluahkan rasa simpati terhadap mangsa dan berharap pelaku dikenakan hukuman setimpal.

"Allahuakhbar, mesti perempuan tu takut. Ya Allah, dia jerit 'hubby' dua kali.

"Weh meremang bulu roman saat dia terhempas tu.

"Tolonglah sesiapa jangan cari pasangan yang baran," tulis netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain