suria

Rugi RM3.5 juta rumah dipecah masuk, ahli keluarga usahawan wanita akan diambil keterangan - Polis

Jongkong emas merupakan antara yang dilarikan suspek dalam kejadian berkenaan. -Gambar hiasan

POLIS akan mengambil keterangan ahli keluarga usahawan wanita yang dilaporkan mengalami kerugian RM3.5 juta ekoran kejadian pecah masuk di rumahnya di Padang Balang, Kuala Lumpur, kelmarin.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, pihaknya sudah mengambil keterangan ahli perniagaan berkenaan bagi membantu siasatan.

Katanya, pihak polis kini menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti suspek yang terlibat.

"Kita akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut untuk dapatkan siapa yang terlibat.

"Kita akan siasat sama ada (ada) orang dalam atau orang luar. Bagi polis masa jalankan siasatan.

"Keterangan ahli keluarga akan diambil nanti," katanya kepada pemberita.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah usahawan terkenal dirompak, kerugian dianggarkan RM3.5 juta

Pada Isnin media melaporkan seorang usahawan wanita mengalami kerugian sekitar RM3.5 juta selepas peti besi yang mengandungi jongkong emas dan wang tunai dilarikan dari kediamannya, di Padang Balang, Sentul, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat mangsa yang berusia 46 tahun, awal pagi Isnin.

Ujarnya, ketika kejadian, rumah mangsa tidak berpenghuni dan kamera litar tertutup (CCTV) di rumahnya telah dirosakkan suspek.

Selain itu suspek turut melarikan beberapa buah beg tangan pelbagai jenama, barangan kemas milik ahli keluarganya dan wang tunai.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain