suria

Tiga media serantau bergabung bentuk Konsortium Impak Kelestarian Asia

Chan Seng Fatt berharap Konsortium yang ditubuh menjadi inspirasi kepada semua pihak.

KOMITED mempromosikan prinsip kelestarian, tiga agensi media serantau bergabung sekali gus menjadi pendorong utama pertumbuhan ekonomi hijau di seluruh rantau Asia.

Mewakili negara masing-masing, Star Media Group (SMG), Kompas Gramedia Group (KG Media) dari Indonesia dan Kumpulan Syarikat Inquirer (IGC) dari Filipina menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menubuhkan Konsortium Impak Kelestarian Asia (Konsortium) bagi menjayakan misi tersebut.

Sebagai pakatan yang pertama seumpamanya, Konsortium akan menggunakan kepakaran yang ada secara strategik bagi memudahkan tindakan kolaboratif antara pemegang taruh, perniagaan, serta orang ramai secara kolektif melibatkan 123 juta orang di seluruh rantau.

Ketua Pegawai Perniagaan SMG, Lydia Wang yang memainkan peranan penting dalam penubuhan Konsortium, menekankan keperluan kerjasama strategik bagi membantu mempercepatkan agenda ESG bukan sahaja dalam setiap negara rakan Konsortium, tetapi juga di seluruh Asia.

"Terdapat keperluan mendesak untuk memperjelas dan mendapatkan sokongan bagi memudahkan perubahan yang lebih lancar ke arah penyelarasan ESG dalam amalan perniagaan.

"Ia susulan halangan kawal selia daripada pelbagai peraturan antarabangsa, serta standard pelaporan yang perlu dipatuhi dan diutamakan sektor perniagaan kerana akan memberi impak kepada mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, ujar beliau, dengan membina pakatan strategik tersebut, mereka berharap dapat mengukuhkan impak dalam pelbagai bidang dan membuat perubahan menerusi objektif bersama di platform yang dimiliki oleh rakan kongsi dan Star Media Group.

Tambahnya, Konsortium Impak Kelestarian Asia berusaha untuk membina masa depan di mana kelestarian menjadi teras masyarakat.

"Ini akan dicapai melalui strategi tiga hala tuju iaitu pendidikan, penglibatan dan komuniti yang akan dipimpin oleh setiap jenama Kumpulan seperti StarESG, KG Media Lestari, dan Inquirer ESG Edge.

"Pendekatan Konsortium terhadap pendidikan melibatkan integrasi kelestarian dalam memberi kesedaran sosial melalui strategi media yang komprehensif merangkumi platform media cetak, digital dan sosial media," katanya lagi.

Menurutnya, di bawah aspek penglibatan, pakatan tersebut bertujuan untuk merapatkan jurang antara pendatang baru dan pengamal inisiatif kelestarian yang berpengalaman dengan mewujudkan peluang dan memupuk persekitaran kerjasama bagi pertukaran ilmu serta pertumbuhan profesional.

"Untuk mengukuhkan impaknya, Konsortium akan mewujudkan hubungan yang sependapat untuk bertindak sebagai suara pihak berkuasa dalam perihal kelestarian.

"Komuniti yang terdiri daripada pakar dan penyokong amalan ESG akan memberikan pandangan dan bimbingan, membentuk perbincangan dan menasihati pihak berkepentingan yang akan menyumbang kepada pembangunan penyelesaian yang berkesan dan berkekalan," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMG, Chan Seng Fatt berkata dengan mewujudkan ekosistem yang betul, Konsortium ini mampu menjadi penggerak utama dalam memacu momentum, menyatukan pelbagai pihak berkepentingan, dan membentuk masa depan yang mampan untuk rantau ini.

“Menerusi Konsortium ini, kami berharap akan dapat meningkatkan penerimaan dalam kalangan syarikat-syarikat dan memberi inspirasi kepada mereka untuk menjadi sebahagian daripada gerakan ini.

"Ia adalah satu usaha yang harus dimulakan secara kolektif, mengubah aspirasi menjadi tindakan ke arah sifar bersih dengan berkesan dan membentuk masa depan yang mampan untuk rantau ini,” ujarnya.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif KG Media, Andy Budiman, pakatan yang dibina akan merapatkan jurang komunikasi antara pihak berkepentingan, sektor perniagaan dan orang ramai.

Tambahnya, ia boleh menyokong dasar dan inisiatif yang mengutamakan kemanusiaan, kesaksamaan sosio-ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain