suria

Kakak syukur lebih banyak anggota hilang ditemukan semula, 90 peratus rangka milik Bella

Kakak Bella memaklumkan status terkini mengenai penemuan rangka adiknya, Bella.

KAKAK kepada Bella, Norhisham Samsusah menzahirkan rasa syukur apabila sebahagian rangka mangsa yang hilang ditemukan semula dalam operasi dijalankan oleh pihak polis.

Perkara itu dimaklumkan oleh Norhisham yang lebih mesra disapa Ayu menerusi laman Facebook pada Selasa malam selepas menerima laporan berkenaan.

"Alhamdulillah, separuh anggota yang hilang telah dijumpai, tetapi kami masih menunggu keputusan forensik.

"90 peratus boleh dikatakan milik arwah Bella. Mohon doakan supaya anggota lain dijumpai," katanya dalam hantaran berkenaan.

Sebelum ini, rangka manusia yang ditemukan di sebuah rumah terbiar di Jalan Imam Jailani, Tongkang Pechah, Batu Pahat, Johor pada 21 Januari lalu disahkan milik Bella atau Mira Sharmila Samsusah, 32.

Pengebumian mangsa yang didakwa dibunuh oleh teman lelakinya itu dibuat pada 26 Januari lalu tanpa kedua-dua tangan dan kaki.

Sebagaimana ditulis menerusi Facebook Ayu, dia dan ibunya Noraini Salleh, 55, terkejut ketika memandikan rangka tidak sempurna itu di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan ia adalah Bella.

ARTIKEL BERKAITAN: Sah rangka manusia ditemukan di rumah terbiar milik Bella!

Mayat Bella ditemukan dalam keadaan rangka tidak sempurna di sebuah rumah sewa terbiar di Batu 7, Tongkang Pechah di Batu Pahat.

Penemuan rangka itu menjawab misteri kehilangan Bella selepas mangsa didakwa keluar bersama suspek yang merupakan teman lelakinya, pada malam 14 Disember 2023.

Pada 23 Januari lalu, polis dalam satu kenyataan memaklumkan rangka ditemui itu adalah milik Bella selepas ujian DNA dilakukan berpadanan dengan sampel yang diambil daripada ibu dan kakak Bella.

Susulan itu, suspek utama kes pembunuhan Bella akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor pada 24 Januari atas pertuduhan bunuh.

Tertuduh Mohammad Haikal Mahfuz, 24, yang diwakili peguam Syahril Anuar mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Asidah A Rahman, namun tiada pengakuan direkodkan.

Haikal yang juga teman lelaki mangsa didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 11 malam pada 14 Disember 2023 hingga pukul 5.30 pagi hari berikutnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain