suria

Kakak arwah Bella direman gara-gara ‘live’ TikTok

Kakak Bella direman sehari berhubung Akta Kanak-Kanak 2001.

KAKAK kepada Mila Sharmila Samsusah atau Bella yang mati dibunuh teman lelakinya ditahan polis pada awal pagi Rabu.

Wanita berusia berusia 37 tahun itu ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Johor sebelum direman bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuat terhadapnya kerana didakwa melanggar Akta Kanak-Kanak 2001.

Semuanya berpunca apabila ahli keluarga tertuduh mendakwa kakak kepada Bella itu menyiarkan gambar kanak-kanak yang dipercayai anak angkat tertuduh ketika bersiaran langsung di TikTok, baru-baru ini.

Wanita itu diwakili peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan.

Menurut peguam anak guam mereka direman sehari selepas mahkamah menolak permohonan pegawai penyiasat untuk reman tiga hari.

Katanya, wanita terbabit disiasat mengikut Seksyen 15 (2) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana dakwaan mengatakan gambar yang ditunjukkan secara langsung itu terbabit dengan jenayah.

Untuk rekod Mohammad Haikal Mahfuz iaitu teman lelaki Bella dituduh membunuh wanita itu pada Disember lalu.

Mengikut pertuduhan sebelum ini, dia didakwa membunuh Bella antara Jalan Kelapa Barli, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, di Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Tongkang Pechah.

Kejadian itu berlaku pada 11 malam hingga 5 pagi, antara 14 hingga 15 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun atau tidak melebihi 40 tahun, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain