suria

Terlepas hukuman gantung, lelaki Kemboja sebabkan kematian empat rakan senegara dipenjara 60 tahun

Tempoh hukuman penjara berdasarkan kesalahan yang dilakukan. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki warga Kemboja terlepas hukuman mati atas kesalahan membunuh dua kanak-kanak lelaki dan dua wanita kira-kira sembilan tahun lalu, apabila Mahkamah Rayuan Putrajaya menggantikan hukuman itu kepada penjara 60 tahun.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap bekas penjual air, Usuf Matli, 39, selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari mengesahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi lelaki itu supaya sabitan atas kesalahan membunuh diganti kepada menyebabkan kematian.

"Sabitan dan hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh) oleh Mahkamah Tinggi (Shah Alam) diketepikan dan diganti dengan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap empat pertuduhan di bawah Seksyen 304(a).

"Oleh itu, perayu (Usuf) menjalani hukuman penjara selama 60 tahun kerana hukuman itu berjalan berasingan dari tarikh tangkap pada 7 September 2015," kata Hakim Hadhariah pada Selasa.

Dua lagi hakim yang turut bersidang adalah Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Mengikut keempat-empat pertuduhan, Usuf didakwa menyebabkan kematian terhadap dua kanak-kanak lelaki iaitu Rahimi Yusof dan Asnawi Ahmad serta dua wanita iaitu Fatimas Aly dan Salamah Yusof di kebun kelapa sawit di Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang Kuala Langat, Selangor antara 1 pagi hingga 7.25 malam pada 6 September 2015.

Terdahulu Usuf mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman denda.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain