suria

Tak sanggup 'dimadu', bekas pelajar perubatan tikam kekasih curang

Suspek ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut. -Gambar hiasan

PERASAAN cemburu boleh mengakibatkan seseorang hilang pertimbangan dan melakukan tindakan di luar kawalan.

Seperti bekas pelajar perubatan ini, dia sanggup menikam mati selepas kekasihnya didapati curang dengan wanita lain.

Kejadian tersebut berlaku di sebuah rumah sewa di Rimbayu, Kuala Langat, Selangor pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Salleh berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan daripada seorang doktor berusia 32 tahun yang bekerja di Hospital Cyberjaya berkenaan menerima satu pesakit dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 9.41 pagi.

Katanya, pengadu mendapati pesakit telah dibawa dari sebuah klinik swasta dan telah bertindak membuat bantuan penafasan (CPR) selama 30 minit, namun tiada tindak balas dan denyutan nadi dari mangsa.

“Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7.25 pagi akibat kecederaan luka tikaman di bahagian pergelangan tangan kiri dan kaki kiri dengan bersenjatakan sebilah pisau.

“Bertindak maklumat kemudiannya membawa penahanan seorang wanita yang merupakan kekasih mangsa di kawasan hospital tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah hari, hari yang sama,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau menjelaskan, semakan mendapati suspek yang merupakan warga tempatan itu adalah bekas pelajar perubatan dan bekerja sebagai model sambilan selain tidak mempunyai rekod lampau.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian adalah cemburu kerana mangsa yang merupakan seorang jurufoto telah berlaku curang dengan mempunyai wanita lain selain suspek.

“Hubungan cinta antara suspek dan mangsa adalah kira-kira tiga tahun,” ujarnya.

Ahmad Ridhwan menambah, suspek kini direman selama enam hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain