suria

Tragedi padang permainan... Ibu, anak melecur disimbah petrol, dibakar

Ibu dan anak melecur selepas dibakar oleh dua lelaki. -Gambar hiasan

SEORANG wanita warga asing melecur di muka dan badan, manakala anak lelakinya mengalami cedera ringan selepas disimbah dengan petrol dan dibakar oleh dua lelaki di padang permainan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima laporan daripada suami mangsa pada pukul 1.34 pagi Ahad lalu, berhubung insiden yang berlaku di Kampung Cheras Baru, Cheras.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku apabila mangsa berusia 32 tahun pergi ke padang permainan untuk mengambil anak lelakinya berusia dua tahun pada pukul 10.30 malam Jumaat lalu.

"Mangsa didatangi dua lelaki warga asing berusia 26 dan 35 tahun dalam keadaan mabuk, dan salah seorang suspek mengarahkan wanita itu membeli petrol yang diisi di dalam botol.

"Selepas mangsa menyerahkan botol tersebut, suspek kemudian menyimbah petrol ke arah wanita berkenaan dan membakarnya," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Zam Halim berkata, mangsa yang merupakan warga Rohingya melecur 30 peratus di bahagian muka dan badan, menerima rawatan di hospital.

"Anak lelaki mangsa mengalami kecederaan ringan.

"Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya sambil menambah suspek telah dikenal pasti dan sedang diburu polis.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi hotline polis Cheras di talian 03-9284 5050, 03-9284 5051 atau hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain