suria

Kes Kevin Morais: Mahkamah Rayuan kekalkan hukuman mati 6 tertuduh

Mayat Kevin Morais ditemukan dalam tong dram berisi konkrit pada 16 September 2015 selepas dilaporkan hilang pada 4 September tahun yang sama.

HUKUMAN gantung sampai mati terhadap enam individu yang disabitkan dengan kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, sembilan tahun lalu, dikekalkan.

Mahkamah Rayuan menerusi panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu sebulat suara.

Enam individu berkenaan adalah bekas pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 61; pemberi pinjaman wang, S Ravi Chandran, 53; dan empat penganggur, R Dinishwaran, 32; A K Thinesh Kumar, 31; M Vishwanath, 34; serta S Nimalan, 31.

Sebagai rekod, enam tertuduh dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi pada 10 Julai 2020, selepas didapati bersalah membunuh Kevin Morais.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Kevin Morais: Bekas Tertuduh Kedua Tak Tahu Mayat Dalam Tong Ketika Isi Simen

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) berpendapat bahawa kesemua enam lelaki itu mempunyai niat bersama untuk membunuh Morais dan mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap penglibatan mereka dalam pembunuhan itu.

Mereka didakwa membunuh Kevin Morais, 55, di sebuah lokasi di sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi hingga 8 malam, pada 4 September 2015.

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Morais dilaporkan hilang pada 4 September 2015 yang mana mendiang kali terakhir dilihat meninggalkan kondominiumnya dengan menaiki kereta Proton Perdana dari Menara Duta, Kuala Lumpur, ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.

Mayatnya ditemukan dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September tahun sama.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain