suria

Gempar surat layang dakwa doktor hospital kerajaan gila seks, buat gangguan seksual terhadap staf

Surat layang yang membabitkan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak.

TULAR di laman X mengenai surat layang yang ditemukan di lot parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak mendedahkan seorang doktor dari sebuah jabatan didakwa melakukan gangguan seksual.

Mereka yang menjadi mangsa gangguan seksual doktor berkenaan didakwa terdiri daripada kakitangan wanita HRPB.

Surat layang itu ditujukan kepada Pengarah HRPB, Datuk Dr Megat Iskandar Megat Abdul Hamid menggesa agar siasatan secara telus dapat dilakukan terhadap doktor tersebut yang dilabel 'gila seks' dan dia seterusnya ditukarkan ke hospital di negeri lain.

"Sila baca dan tolong kami," demikian mesej pada penghujung surat layang dua muka surat itu bertarikh 27 Februari 2024.

Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menerusi satu kenyataan pada Sabtu berkata pihaknya telah menubuhkan satu Jawatankuasa Penyiasatan Bebas pada 29 Februari lalu bagi menyiasat surat layang terbabit.

Pengarahnya, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata penubuhan jawatankuasa tersebut dilakukan sehari selepas surat berkenaan diterima HRPB melalui pos iaitu pada 28 Februari.

“Jawatankuasa ini terdiri daripada pegawai-pegawai yang dilantik oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan (KKM).

“Siasatan sedang dijalankan dengan pengumpulan bukti. KKM memandang tuduhan ini sangat serius dan mempunyai toleransi sifar terhadap gangguan seksual di tempat kerja,” ujarnya.

Turut didedahkan dalam surat layang itu adalah nama beberapa individu yang juga kakitangan hospital berkenaan didakwa melindungi dan bersekongkol dengan perbuatan doktor terbabit.

Surat layang tersebut juga menzahirkan kekesalan kerana ketiadaan tindakan terhadap doktor itu biarpun aduan telah dibuat berhubung isu berkenaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain