suria

Bekas tentera didakwa cabul, cederakan prebet lelaki muda… Buat hal dalam Kem Terendak

Mohd Amanah (tengah) mengaku tidak bersalah atas 17 pertuduhan.

SEORANG bekas tentera berpangkat koperal didakwa atas 17 pertuduhan mencabul dan mencederakan seorang prebet lelaki.

Tertuduh, Mohd Amanah Habhijullah, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman di Ayer Keroh, Melaka pada Jumaat.

Berdasarkan 15 pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah kepada seorang mangsa berusia 20 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Perbuatan itu dilakukan di Bilik Bujang Tingkat Dua, Villa Kesatria, 73, Batalion Ordnans Diraja, Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka, sekitar tengah malam hingga jam 6 pagi antara 25 Ogos hingga 14 Oktober tahun lalu.

Kesemua pertuduhan adalah mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 323 kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di lokasi sama pada pukul 2 pagi, 15 Oktober 2023 dan 3 petang, 16 Oktober 2023.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya manakala tertuduh diwakili peguam, S Daniel.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 bagi 15 pertuduhan pertama dan RM1,000 untuk setiap dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan, dengan dua penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat penjamin haruslah warga tempatan yang bermastautin di Melaka

Tertuduh juga diarahkan untuk melapor diri di balai polis terdekat pada setiap bulan sehingga kes ditutup.

Sebutan semula kes adalah pada 30 April depan. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain