suria

Tiga ‘Awek Melaka’ merempit atas lebuh raya... Berani pamer aksi ‘Superman’

Tiga remaja ini ditahan pada Rabu kerana menunggang dalam keadaan merbahaya.

AKIBAT menunggang secara merbahaya dengan mempamerkan aksi ‘Superman’, tiga gadis ditahan polis.

Ia susulan beberapa klip video aksi mereka di Lebuhraya Utara-Selatan itu tular di media sosial.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, pihaknya mengesan video klip yang dimuat naik di aplikasi X pada Ahad lalu.

“Klip video itu memaparkan sekumpulan penunggang motosikal melakukan aksi meniarap di atas motosikal sambil meluruskan kedua-dua kaki ke belakang di lebuh raya terbabit.

“Bertindak atas maklumat itu, Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Trafik Daerah (BSTD) Melaka Tengah membuat tangkapan terhadap tiga remaja perempuan di sekitar Bandar Melaka, pada Rabu.

“Mereka berusia 16 hingga 18 tahun. Motosikal Yamaha Y15ZR yang digunakan dibawa ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

545

Aksi membahaya sekumpulan penunggang motosikal.

Mohd Azman berkata, hasil soal siasat mendapati semua suspek daripada kelab motosikal ‘Awek Melaka’ itu menetap di negeri berkenaan.

“Sebelum kejadian, difahamkan suspek dalam perjalanan pulang secara konvoi dari sebuah kedai makan di Serdang, Selangor.

"Suspek mengaku menjadikan lebuh raya itu sebagai lokasi melakukan aksi berbahaya berkenaan kerana terpengaruh antara satu sama lain,” katanya.

Jelas Azman, pihaknya juga mengeluarkan tujuh saman terhadap suspek terbabit atas pelbagai kesalahan.

“JSPT akan sentiasa melaksanakan operasi mencegah samseng jalanan secara berterusan bagi membanteras kegiatan itu yang membahayakan keselamatan orang ramai.

“Pada masa sama, JSPT komited untuk menjalankan program advokasi bagi melahirkan generasi penunggang motosikal yang sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang lalu lintas,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain