suria

Wanita Rohingya dibakar selepas disuruh beli petrol, tukang cat ditahan

Membakar individu lain merupakan satu perbuatan jenayah. -Gambar hiasan

POLIS menahan seorang tukang cat selepas disyaki terbabit kes membakar seorang wanita warga Rohingya.

Kejadian berlaku di padang permainan Kampung Cheras Baru, Cheras, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, lelaki warga Myanmar berusia 36 tahun itu ditahan di Ampang, Selangor, pada Rabu malam.

"Siasatan mendapati suspek disyaki terbabit kes itu bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas.

"Suspek direman tujuh hari bermula hari Khamis sehingga 20 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi padang permainan... Ibu, anak melecur disimbah petrol, dibakar

Sebelum ini, mStar melaporkan, seorang wanita warga asing melecur di muka dan badan, manakala anaknya cedera ringan selepas disimbah petrol sebelum dibakar dua lelaki di padang permainan Kampung Cheras Baru, Cheras.

Menurut Zam, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada suami mangsa yang juga warga asing pukul 1.34 pagi Ahad.

Berdasarkan siasatan dibuat mendapati kejadian berlaku ketika mangsa pergi ke padang permainan berkenaan untuk mengambil anak lelakinya berusia dua tahun pukul 10.30 malam, Jumaat.

Mangsa terserempak dengan dua lelaki warga asing dikenali dalam keadaan mabuk dengan salah seorang suspek mengarahkan wanita itu membeli petrol yang diisi ke dalam botol.

Selepas mangsa menyerahkan botol yang berisi petrol kepada suspek, mereka bertindak menyimbah petrol serta menyalakan api terhadap wanita berkenaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain